Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Jelaskan kelulusan projek berisiko di lereng bukit




PULAU PINANG 24 Okt. – Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada penduduk ne­geri ini bagaimana sebuah projek perumahan berkepadatan tinggi boleh diluluskan berhampiran lereng bukit.


Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, projek yang dirancang di tapak tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah di sini adalah terlalu padat iaitu membabitkan pembinaan sehingga 50 tingkat dengan 980 unit rumah.


Menurut beliau, keadaan tanah di lereng bukit itu ternyata tidak mampu menampung pembangunan yang dirancang walaupun ketika ini hanya dibina beberapa tingkat apatah lagi sehingga 50 tingkat seperti dirancang.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu pasukan siasatan khas di peringkat Kerajaan Persekutuan ditubuhkan segera bagi menyiasat tragedi tersebut yang jelas telah mengabaikan aspek keselamatan orang awam.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak perlu tubuh suruhanjaya siasatan sebab tiada siapa pun akan percaya kepada mereka.

“Sebaliknya Kerajaan Pusat perlu campur tangan dan ambil alih tugas siasatan dengan kerjasama pihak berkuasa se­perti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikannya te­lus,” kata­nya selepas melawat tapak tragedi tanah runtuh yang menyebabkan 11 pekerja tertimbus di Tanjung Bungah, di sini kelmarin

Pada masa sama, katanya, siasatan juga perlu disegerakan kerana kelulusan yang diberikan kepada pemaju untuk membangunkan projek itu seolah-olah melanggar segala garis panduan dan perundangan membabitkan pembangunan di kawasan lereng bukit.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi membahaskan tragedi tersebut.

Menurutnya, sidang tergempar itu bagi membolehkan usul khas menghentikan semua projek berisiko di lereng bukit dibuat segera memandangkan perkara tersebut disifatkan sangat kritikal dan mendesak ketika ini.

“Satu keputusan rasmi melalui sidang DUN perlu dibuat supaya menjadi polisi kekal terhadap pemajuan tanah tinggi serta lereng bukit di negeri ini sete­rusnya dapat memastikan bencana alam akibat pembangunan dapat dikawal serta tidak berulang,” katanya.