Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Bebanan rakyat, 'Yang sederhana mengeluh, apatah lagi yang miskin'


Oleh: Muhammad Shamsul Abd Ghani


SHAH ALAM - PAS berpendapat topik kos sara hidup merupakan isu  'panas', khususnya apabila ia sangat membebankan kehidupan rakyat sehinggakan pendapatan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan hidup seharian.

Ini menurut Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang, dalam situasi sekarang kalaulah yang berpendapatan sederhana yang besar jumlahnya mengeluh, apatah lagi kalangan berpendapatan rendah yang sangat besar juga jumlahnya, penganggur dan golongan kurang upaya.

"Ia tidak mengira yang bergaji atau bekerja sendiri juga menghadapi bebanan yang sama. Lebih malang kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar. Semakin besar bandar yang dinaik taraf khususnya apabila disebut Bandar Raya, semakin berat bebanannya.

"Petani dan nelayan pula menghadapi peniaga dan penyangak yang juga membebankan kos sara hidup bagi mendapat keperluan yang bukan kerjanya," katanya.

Katanya, tanpa mengira pelbagai sebab dan punca yang berlaku sehingga meningkatnya kadar inflasi yang melibatkan apa sahaja barangan, perkhidmatan, kejatuhan nilai mata wang, pengurusan, kuasa membeli dan lain-lain atau melibatkan kerajaan, kalangan rakyat dan penggiat ekonomi, semuanya wajib dilakukan muhasabah yang semestinya ditangani oleh semua pihak supaya melakukan islah dan perubahan.

"Banyak pihak telah mengulas dan melakukan analisa, serta mengemukakan pandangan yang lebih dipengaruhi oleh teori barat dalam aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan yang memisahkan semuanya daripada agama yang menegaskan kewajipan menghitung dosa dan pahala di sisi ALLAH.


"Dalam semua kegiatan manusia, seperti yang ditegaskan oleh ajaran Islam, bahawa semua urusan cara hidup ada kaitan dengan agama," katanya.

Jelasnya, sebenarnya manusialah melakukan kesalahan dalam urus tadbir kehidupan mereka, kerana menggunakan akal semata-mata tanpa moral yang luhur apabila meninggalkan hidayah ALLAH, khususnya sifat mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan masyarakat, sifat tamak haloba mengejar keuntungan tanpa simpati terhadap pengguna.




"Sifat bakhil terhadap orang lain, sanggup boros dan membazir dalam kalangan orang kaya kerana hidup bermewah-mewah tanpa peduli kesannya terhadap golongan miskin. Semuanya memberi kesan negatif kepada ekonomi berkeluarga dan bermasyarakat, khususnya apabila mengundang kos sara hidup yang tidak saksama dengan pendapatan," katanya.