Piawaian wanita dilantik senator, pembuat dasar
KESEIMBANGAN jantina diperjuangkan Islam telah diamalkan oleh kerajaan terutama dalam aspek pendidikan. Perkara ini sepatutnya diperakui dan disyukuri wanita di negara ini.
Wanita Malaysia amat bertuah jika dibandingkan dengan wanita di negara Islam lain yang masih lagi dibelenggu tradisi masyarakat jumuk dan mengabaikan keseimbangan jantina dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan seumpamanya.
Konsep keterbukaan dan kesederhanaan dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara memberi peluang kepada ramai wanita di negara ini menuntut ilmu dalam pelbagai bidang seiring lelaki sehingga mereka mampu meletakkan diri setaraf dengan kaum Adam.
Apabila wanita memiliki kebolehan dan kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan maka persoalan sama ada wanita layak menjadi pemimpin atau pembuat dasar negara tidak dijadikan sebagai satu isu penting yang perlu diperdebatkan seperti mana berlaku di negara-negara Islam yang masih lagi mengamalkan konsep diskriminasi jantina.
Kebolehan dan kepakaran wanita sepatutnya diiktiraf dan diberi peluang untuk menjawat sebarang jawatan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan, pengalaman dan ketekunan mereka melaksanakan tugas untuk masyarakat dan negara.
Sikap membelakangi hak wanita yang mempunyai kebolehan dan kepakaran merupakan satu kerugian besar kepada negara kerana wanita intelek dan profesional adalah individu-individu yang dilatih dan dididik, sama ada menuntut di dalam negara atau luar negara.
Pengalaman dan pengetahuan mereka sepatutnya disumbangkan kepada negara secara melantik mereka menjadi pemimpin atau pembuat dasar negara.
Wanita-wanita yang didedahkan dengan sistem pendidikan komprehensif mampu untuk mengendalikan urusan kerajaan dan negara kerana ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka berkhidmat dengan masyarakat dan negara membolehkan mereka memimpin negara.
Terdapat ramai wanita mempunyai kepakaran dalam kepimpinan dan pentadbiran tetapi kebolehan mereka kurang ditampilkan kerana sikap kronisme masih lagi wujud dalam minda para pentadbir dan pemimpin kerajaan.
Cara pemilihan wanita untuk menjadi senator dan pembuat dasar sering tersasar daripada konsep pemilihan individu yang layak dan kualiti.
Sikap terlalu taksub kepada puak dalam parti politik dan populariti individu-individu tertentu tanpa meneliti kebolehan dan kecekapan dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran sering dijadikan sebagai cara untuk melantik wanita sebagai senator dan pembuat dasar. Ini adalah salah satu faktor ramai wanita intelek dan profesional tersisih daripada pemilihan sepatutnya dijawat mereka.
Sikap begini bukan sahaja menyebabkan dasar negara tidak dapat dilaksanakan secara komprehensif kerana individu-individu dilantik itu tidak layak malah juga boleh menjatuhkan maruah wanita dengan kelemahan ditonjolkan golongan wanita tersebut kurang meyakinkan masyarakat terhadap kebolehan wanita dalam kepimpinan.
Wanita yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman sewajarnya jika dilantik menjadi senator atau pembuat dasar negara boleh menyebabkan sistem kepimpinan negara menjadi lemah. Wanita dalam negara ini amat berbangga jika ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan dilantik menjadi senator dan pembuat dasar kerana kejayaan dan ketekunan mereka dalam perkhidmatan negara boleh menaikkan taraf wanita setanding dengan lelaki.
Pemilihan wanita untuk jawatan senator bagi mewakili kerajaan memerintah sepatutnya dipilih dalam kalangan wanita profesional dan intelek yang mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran dan penglibatan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan.
Wanita-wanita intelek yang tidak melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan kurang mampu untuk menyuarakan keluh kesah rakyat kerana corak kehidupan mereka lebih tertumpu kepada perkara-perkara berkaitan dengan tugas harian mereka di pejabat.
Oleh itu kriteria untuk memilih senator dan pembuat dasar negara sepatutnya dikaji latar belakang dan pengalaman mereka secara terperinci terlebih dahulu supaya pemilihan dibuat bertepatan dengan hasrat dan keinginan pucuk pimpinan negara.
Pemilihan senator yang hanya berdasarkan kepada populariti wanita sering mengundang permasalahan apabila wanita tersebut gagal menunaikan tugas.
Perkara berkaitan dengan kepimpinan dan pentadbiran adalah satu tugas paling berat. Hanya wanita-wanita lasak dan mempunyai kekuatan mental dan spiritual yang mampu menanggung tugas tersebut.
Tanpa pengalaman dan penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan maka tidak mungkin wanita mampu untuk menanggung tugas berat itu.
Oleh itu dalam pemilihan wanita sebagai senator dan sebagainya sepatutnya berdasarkan kepada kualiti bukan kuantiti.
Wanita yang mempunyai daya keintelektualan tinggi dan memahami betapa beratnya tanggungjawab sebagai pemimpin tidak akan menjawat jawatan tersebut sebagai batu loncatan untuk memperkayakan diri dan memiliki kuasa kerana padahnya amat besar akan dihadapi di hari akhirat.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabda baginda:
“Sesiapa yang dianugerahkan Allah sebagai pemimpin, tetapi dia tidak berbuat sesuatu untuk kebaikan umatnya (malahan sebaliknya menipu dan menzalimi umatnya), Allah mengharamkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari).
Berdasarkan kepada penjelasan tersebut, maka wanita-wanita Islam cuba sebaik mungkin berkhidmat kepada masyarakat dan negara apabila mereka dilantik menjadi senator dan pembuat dasar negara supaya mereka mendapat ganjaran yang baik dari Allah dan jasa mereka dikenang oleh masyarakat.
PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan
Agama, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Post a Comment