Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Lim Guan Eng Akui DAP Yang Sebenarnya Memutuskan Hubungan Dengan PAS?


Oleh: Dr. Kamarul Yusoff

Sebelum ini, naratif popular yang selalu digunakan oleh para pemimpin DAP mahupun para pemimpin AMANAH di dalam menjelaskan mengenai punca berkuburnya Pakatan Rakyat pada tahun 2015 adalah PAS yang menguburkannya kerana PAS didakwa memutuskan hubungan antara PAS dan DAP.

Alih-alih, semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sewaktu menghentam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di atas tulisan beliau bertajuk “Mengapa Kalau Islam Tidak Boleh?” yang disiarkan pada 22 Disember lalu, mendedahkan DAP-lah yang memutuskan hubungan ini.

Kata Lim Guan Eng semalam: “Jelas DAP mengambil posisi yang betul untuk memutuskan hubungan dengan para pemimpin PAS selepas persaraan bekas Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz” (“Clearly DAP took the correct position to break off with PAS leaders after the retirement of former Kelantan Menteri Besar Tok Guru Nik Aziz”).

Kata Lim Guan Eng lagi: “DAP sanggup untuk membayar apa sahaja harga politik untuk menegakkan prinsip-prinsip kami dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan untuk memutuskan hubungan dengan PAS (“DAP is willing to pay any political price to uphold our principles and defend the Federal Constitution by breaking off with PAS”).

Tambah Lim Guan Eng: “Ini berbeza dengan MCA, Gerakan dan SUPP yang tidak berani memutuskan hubungan dengan UMNO yang cuba bekerjasama dengan PAS untuk menyelamatkan sokongan UMNO” (“This is unlike MCA, Gerakan and SUPP that dare not break off ties with an UMNO that sought co-operation with PAS to save UMNO’s support”).

Maka jelaslah sekarang bahawa para pemimpin DAP mahupun para pemimpin AMANAH berbohong dengan menyalahkan PAS kerana menguburkan Pakatan Rakyat setelah Lim Guan Eng sendiri kini mengakui bahawa DAP-lah yang bertanggungjawab ke atas berkuburnya Pakatan Rakyat dengan memutuskan hubungan antara DAP dan PAS.

Dakwaan Lim Guan Eng bahawa punca DAP memutuskan hubungan dengan PAS adalah kerana ia mahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pula adalah jauh tersasar kerana sehingga kini tidak ada mana-mana mahkamah yang memutuskan bahawa agenda perlaksanaan syariat PAS bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini jauh berbeza dari agenda pemulihan pilihan raya tempatan DAP, yang masih menjadi agenda perjuangan DAP dan masih terpahat di dalam Perlembagaan DAP, walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dengan jelas pada 14 Ogos 2014 bahawa perlaksanaan pilihan raya tempatan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ternyatalah kini bahawa, selain DAP menjadi punca terkuburnya Pakatan Rakyat, laungan DAP kononnya ia mahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan adalah satu omongan kosong, apatah lagi bila matlamat Malaysian Malaysia DAP adalah menghasut dan bercanggah dengan Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.