Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PRU Ke 14: Pengundi Melayu Kemana? 



Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru berlalu. Heboh pemimpin UMNO membicarakan tentang keperluan perwakilan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dan UMNO. 

Seruan-seruan disahut dengan berbagai laungan semangat. Harapan yang tinggi disandarkan kepada para perwakilan supaya balik ke formasi menggerakkan jentera untuk memastikan kemenangan. 

Rayuan dibuat supaya diminimakan permasalahan diperingkat bawahan dan fokuskan kepada usaha menyatupadukan ahli-ahli UMNO. 

Itulah UMNO parti keramat yang menjadi tonggak Kerajaan bekerja kuat untuk memastikan kesinambungan pemerentahan BN selepas PRU akan datang. 

Kekuatan UMNO perlu di kaitkan dengan sejauhmanakah sokongan orangorang Melayu terhadap UMNO. 

Walaupun ramai pemimin UMNO menyurakan pendapat bahawa untuk menang PRU ini tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada Malays Centric semata-mata. 

Namun begitu corak pengundiaan semasa PRU ke 13 lalu jelas memperlihatkan pengundi Melayu telah menyelamatkan BN. 

Hakikat pengundi Melayu sebagai penyelamat ini tidak boleh ditolak jika dibuat pemerhatian terhadap statistik pengundi yang bakal mengundi dalam PRU akan datang. 

Pengundi Melayu masih lagi bersifat dominan dan mempunyai pengaruh yang besar. Pemimpin UMNO tidak boleh mengetepikan hakikat ini. 

Gelombang pengundi Melayu jika beralih arah walaupun sedikit dalam PRU ke 14 ini akan memberikan kesan yang besar terhadap UMNO dan BN.

Sejarah telah membuktikan semasa PRU ke 12. Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003 dalam kedudukan beliau yang amat popular. 

Rakyat khususnya masyarakat Melayu menyandarkan harapan yang tinggi kepadanya dengan imej agama dan bersih. 

Senario ini membolehkan BN memang besar dalam PRU ke11 pada tahun 2004 dengan memperolehi 198 kerusi Parlimen yang menyentap pengaruh Pembangkang. 

Namun begitu dalam tempoh kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahamad Badawi selepas PRU ke 11, pembangkang telah menimbulkan berbagai sentimen dan isu yang menjurus kepada kredibiliti Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. 

Pilihan 2 Raya Umum ke 12 yang berlangsung pada 2008 menghasilkan keputusan diluar dugaan dengan BN menang cuma 139 kerusi Parlimen mengakibatkan buat kali pertamanya BN telah hilang 2/3 majoriti di Parlimen. 

Kajian impirikal yang dibuat menunjukkan kehilangan 59 kerusi ini adalah sebahagian besarnya berpunca daripada gelombang peralihan pengundi Melayu yang telah beralih menyokong parti PAS dan PKR malah ada yang memberi undi kepada DAP. 

Inilah antara faktor yang telah memberi kekuatan semula kepada Pakatan Pembangkang.

Menyedari perkembangan tersebut usaha untuk mengembalikan sokongan pengundi Melayu ini telah dijalankan dengan agresif oleh Dato Seri Najib Tun Razak selepas dilantik menjadi Perdana Menteri. 

Usaha ini menampakkan sedikit kejayaan apabila UMNO berjaya meningkatkan kemenangan kerusi yang ditandinginya iaitu daripada 79 kepada 88 kerusi dalam PRU ke 13 tahun 2013 iaitu menambah 9 kerusi. 

Melalui senario yang berlaku dalam PRU ke 11, 12 dan 13, cuba kita fikirkan apakah indikasi yang menyebabkan berlakunya perubahan kemenangan, kehilangan drastik kerusi di Parlimen Melayu serta susut undi dikawasan majoriti pengundi Melayu. 

Analisis jelas menunjukkan situasi ini berlaku berpunca daripada perubahan sokongan yang berlaku dalam komuniti pengundi Melayu. 

Oleh itu UMNO perlu berhati-hati menilai sentimen pengundi Melayu dalam PRU ke 14 ini. Kemana hala tuju dan arah sokongan mereka?. 

Ini termasuk mereka di kawasan luar bandar yang menjadi teras sokongan terhadap kemenangan UMNO. 

Jika berlaku sekadar gelombang sahaja, bukan lagi bersifat tsunami terhadap perubahan sokongan pengundi Melayu maka ia akan memberi kesan yang amat besar terhadap kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO walaupun ia berlaku dalam kedudukan pertandingan berbagai penjuru. 

Kajian menunjukkan keseluruhan pengundi yang layak mengundi adalah 14,622,640. 

Analisis yang dibuat menggambarkan daripada jumlah tersebut seramai 7,883,017 merupakan pengundi Melayu. 

Daripada jumlah tersebut empat negeri mencatatkan pengundi Melayu teramai iaitu 1,204,815 pengundi Melayu berada di Selangor, 974,293 di Johor, 967,971 di Kelantan dan 873,438 pengundi di Kedah.

Gambaran yang boleh dinilai adalah apakah yang akan terjadi kepada Johor dan 3 Kedah jika berlaku gelombang peralihan terhadap pengundi Melayu dalam PRU akan datang. 

Bagi pengundi baru pula, seramai 1,235,088 adalah muka baru pengundi Melayu yang telah mendaftar dan layak mengundi dalam PRU akan datang. 

Daripada jumlah ini negeri Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 202,843, diikuti Kelantan 147,306, Kedah 124,249 dan Perak 112,855. 

Bagi Melaka pula jumlah pengundi muka baru Melayu adalah 51,987 berbanding 295,981 pengundi Melayu keseluruhannya. 

Apa akan jadi dengan Perak, Kedah dan Melaka jika pengundi Melayu baru ini tidak berpihak kepada UMNO dan BN. 

Semua ini perlu dibuat penelitian yang rapi oleh UMNO. 

Banyak pihak melahirkan kebimbangan dengan kecenderungan pengundi khususnya golongan muda dibawah 40 tahun. 

Realitinya daripada 7,883,017 pengundi Melayu ini, seramai 3,637,312 pengundi adalah golongan pengundi Melayu dibawah 39 tahun. 

Ini membawa maksud sekitar 46.1 % pengundi Melayu di seluruh negara adalah terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 39 tahun. 

Daripada jumlah tersebut juga seramai 1,566,562 adalah pengundi Melayu dibawah 29 tahun mewakili 20% pengundi Melayu keseluruhannya. 

Adakah UMNO tidak bimbang dengan perkembangan ini jika di nilai daripada persepsi yang dilempar bahawa ramai golongan muda tidak menggemari UMNO?

Semua yang dibentangkan ini adalah sekadar angka daripada statistik dan sejarah keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu. 

Banyak pihak berkata jika kita ingin mendapat gambaran yang tepat kita perlu melihat sejarah dan mengkaji data yang terhasil kerana ia adalah satu pembuktian. 

UMNO tidak boleh berdiam diri dengan melihat sahaja fenomena yang berlaku dalam komuniti Melayu berpaksikan harapan bahawa orang Melayu tidak akan bertindak drastik untuk berpaling arah. 

Jika berkocak sahaja pengundi Melayu maka kesannya adalah terhadap UMNO, jika berlaku gelombang perubahan pengundi Melayu maka UMNO akan rosak dan jika datangnya tsunami pengundi Melayu maka ia akan menjahanamkan UMNO dan BN sekali. 

Beringatlah sebelum terkena. 

Datuk Ahmad Faris Abdul Halim adalah Pengulas Isu-isu Semasa