Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

‘Wartawan ekspres’ ancam prinsip kewartawanan



NILAI - Lambakan berita-berita di media sosial yang ditulis oleh 'wartawan ekspres' atau wartawan warga dengan mengabaikan fakta dan hanya ingin cepat, memberi ancaman kepada wartawan arus perdana, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Beliau berkata lahirnya wartawan warga atau ekspres yang terdiri daripada orang awam yang tidak mempunyai asas dalam bidang kewartawanan menyebabkan berita yang disebarkan oleh mereka ini mampu merosakkan minda rakyat.

"Bahayanya wartawan ekspres ini adalah mereka hanya cuba ingin menyampaikan berita dengan cepat tanpa mengkaji fakta dan masyarakat pula cepat terpengaruh dengan berita yang diperolehi di media sosial ini tanpa menyelidik terlebih dahulu namun mengambil tindakan dengan menyebarkan berita tidak sahih tersebut.

"Berbeza dengan wartawan arus perdana kerana ia melalui pelbagai tapisan dan lapisan penyuntingan sebelum ia diterbitkan atau disiarkan untuk menjadi wadah pembacaan rakyat bagi mengelakkan kesalahan fakta dan juga tatabahasa," katanya semasa berucap pada Seminar Kewartawanan dan Media Islam 2017 (iMEJ'17) di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Program Media Baharu Usim, Dr Rosninawati Hussin.

Chamil berkata wartawan ekspres ini boleh menjatuhkan sesebuah negara dengan penyebaran berita yang kurang sahih untuk tatapan umum dan ia hanyalah sekadar agenda mana-mana individu untuk membuat duit, oleh itu, pembaca perlu membuat penilaian ketika membaca.

Sementara itu, seramai 150 pelajar jurusan Komunikasi Pengkhususan Kewartawanan Usim telah menghadiri seminar iMEJ'17 bertemakan "Wartawan Tanpa Sempadan: Adakah Ia Menggugat Profesionalisme Kewartawanan".

Tiga panel dijemput untuk mengupas isu berkenaan antaranya Bekas Wartawan Kanan Jenayah Utusan Malaysia, Sinar Harian dan TV Al-Hijrah, Syahril A. Kadir; Pengarang Berita Harian Metro, Adam Salleh dan bekas wartawan The Star, The Sun serta Malaysiakini, Yusof Ghani. – Bernama