MH370 : Ada harapan baharu jejaki pesawat yang hilang?
KUALA LUMPUR – Keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH370 berharap misi pencarian yang disambung semula dapat menjejaki pesawat yang hilang hampir empat tahun dan merungkai misteri kehilangannya.
Mereka juga berharap bahawa usaha pencarian MH370 tidak akan dihentikan sehingga pesawat tersebut ditemukan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan bahawa pencarian MH370 akan disambung semula pada pertengahan Januari berikutan pemeteraian perjanjian antara Malaysia dan syarikat eksplorasi dasar laut dari Amefrika Syarikat, Ocean Infinity untuk mencari pesawat tersebut berdasarkan terma “no cure, no fee” yang bermakna pembayaran hanya dibuat jika pesawat tersebut ditemukan.
TMisi utama kapal itu ialah mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan/atau kedua-dua perakam penerbangan; Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Penerbangan (FDR).
Grace Nathan, seorang peguam dari Malaysia yang ibunya, Anne Daisy, ialah antara penumpang pesawat tersebut berkata dia mengharapkan semoga usaha yang akan dijalankan oleh pakar-pakar dan kru dalam menjejaki MH370 akan berjaya serta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ocean Infinity kerana menawarkan terma ‘no cure, no fee’ kepada kerajaan. Saya juga gembvira bahawa keerajaan bersetuju supaya misi pencarian MH370 disambung semula. Pencarian harus diteruskan.
“Kami berharap pencarian ini melalui Ocean Infinity yang mempungai peralatan serba canggih dapat menjejaki MH370 dan mengakhiri episod sedih ini bagi kita semua,” kata beliau kepada Bernama hari ini ketika ditanya mengenai perkembangan terkini.
Seorang lagi waris, Calvin Shim, yang isterinya Christine Tan adalah pramugari dalam pesawat yang hilang itu berkata beliau masih berharap bangkap pesawat Boeing 777 itu ditemukan terutama dalam kitaran pertama 26 hari oleh Ocean Infinity.
“Ini kerana pencarian kitaran pertama didasarkan meliputi 25,000 kilometer persegi seperti dikaji semula mengikut Kajian Prinsip Pertama oleh Biro Kelamatan Pengangkutan Australia (ATSB). Menurut ATSB, 85 peratus kebarangkalian serpihan pesawat adalah di sana.
"Kedua, disebabkan tidak ada apa-apa ditemukan di kawasan pencarian awal 60,000 kilometer persegi dan kawasan pencarian seterusnya merangkumi 60,000 kilometer persegi, satu-satunya harapan kita ialah di kawasan ini. Jika tiada apa-apa ditemukan dalam kawasan 25,000 kilometer persegi, Ocean Infinity akan meneruskan pencarian selama 64 hari lagi dengan memperluaskan kawasan pencarian atas nasihat pasukan pakar,” kata beliau.
Sementara itu, Maira Elizabeth Nari, anak perempuan kepada ketua pramugara pesawat malang itu, Andrew Nari berkata: “Hampir empat tahun. Secara jujur, saya menaruh harapan (dengan perkembangan terbaru). Semoga berjaya dalam misi ini".
Penerbangan MH370, yang membawa 239 orang, hilang dari skrin radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Ma 8, 2014. Australia, Malaysia, dan China secara bersama menggantung usaha mencari di dasar laut bagi pesawat tersebut pada Januari tahun lepas.
Tiada tanda-tanda pesawat tersebut ditemukan di kawasan pencarian meliputi 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Hanya tiga serpihan yang disahkan dari MH370 ditemukan dan kesemua serpihan itu ditemukan di pantai barat Lautan Hindi termasuk serpihan bahagian sayap atau flaperon sepanjang 2 meter. - Bernama
Post a Comment