Mynmar: Setahun peristiwa Food Flotilla
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Februari muncul kembali dan menggamit pelbagai kenangan kepada kita semua. Setahun yang lalu, aku belayar di lautan bersama teman-teman pelbagai NGO daripada pelbagai buah negara, melepasi halangan-halangan birokrasi Mynmar dan juga Bangladesh. Menemui pelbagai ragam manusia dan watak yg berbeda, namun ianya mengkayakan koleksi pengalaman hidup. Aku beberapa kali diberi amanah sebagai pengkuliah dan khatib jumaat. Burung2 camar laut, bayu laut, sesi mentari mengatup dan menaik di dada langit adalah momen-momen indah di atas kapal Nautica Aliya, menggalang misi kemanusiaan "food flotilla 4Mynmar".
Rombongan misi bantuan kemanusiaan flotilla disambut dengan demonstrasi bantahan dan wajah cemberut oleh sekelompok demonstran Myanmar berkain sarung. Media massa di negara berdarah ini lebih sebulan memainkan pelbagai isu berkaitan dengan misi bantuan yang dianggap menceroboh masalah dalaman negara mereka.
"Food Flotilla for Myanmar" memicu perhatian antarabangsa apabila lebih 60 media antarabangsa berhimpun di pelabuhan, pelaporan mereka positif atau negatif tetap memberikan impak yang positif kepada umat Islam yang tertindas. Misi untuk mengejutkan masyarakat antarabangsa bahawa ada negara pariah yang sedang menindas rakyatnya dengan alasan agama dan etnik.
Penampilan bahasa badan dan guratan wajah pegawai-pegawai Myanmar jelas tidak bersahabat dengan anggota misi flotilla. Ada yang mengacungkan tangan kearah peserta-peserta misi yang melaungkan takbir. Wajah sombong itu memandang dengan penuh kebencian terhadap kapal yang menjadi lambang kemenangan usaha rakyat pelbagai negara untuk membantu saudara mereka Muslim Rohingya.
Peserta-peserta bahu membahu membantu mengangkat barang untuk diserahkan pada pihak berkuasa Myanmar dan mereka memberikan persetujuan untuk acara agihan barangan di Sitwea dipantau oleh wakil Malaysia. Perjalanan ke Chitaggong Bangladesh tertangguh hampir sehari kerana keadaan sungai Yanggon yang surut.
Rombongan flotilla telah mengadakan solat jumaat di atas kapal dan menurut Kapten Firdaus itulah solat kali jumaat kali pertama diadakan di atas Nautica Aliya. Khutbah jumaat dengan tajuk kewafatan Rasulullah SAW mengimbau kembali peristiwa penting sebelum kewafatan iaitu himpunan paling ramai dalam sejarah dakwah nabi iaitu haji widak, seterusnya peristiwa selepas kembalinya daripada haji widak sehingga kewafatan baginda. Jemaah solat jumaat diingatkan bahawa tanggungjawab membantu umat Islam ialah sebahagian arahan ar rasul SAW, qudwah yang dicintai dan menjadi keteladanan di sepanjang jalan dakwah.
Perjalanan ke Chittagong melalui jalan laut mengambil masa lebih tiga hari dan flotilla telah dihentikan oleh pihak keselamatan Bangladesh untuk diadakan perbincangan ditengah laut. Persetujuan dicapai untuk misi bantuan meneruskan bantuan ke Chittagong walaupun pada asalnya ada cadangan supaya misi flotilla terus ke Cox Bazaar melalui pelabuhan kecil dan pihak marin Bangladeh memberikan iringan keselamatan.
Tiba di Chittagong, rombongan flottila menghadapi muara sungai yang cetek, kelihatan kapal-kapal besar di atas beting pasir. Untuk memasuki ruang pelabuhan Chittagong seorang kapten tempatan menakhodai kapal Nautica Aliya yang dibina dengan kos 100 juta itu. Perbincangan terakhir akhirnya berlangsung di atas kapal diantara wakil Flotilla dengan pihak berkuasa Bangladesh. Pada asalnya mereka hanya mahu barang bantuan diturunkan dan relawan tidak dibenarkan ke kem pelarian, namun setelah asakan wakil flotilla maka merela bersetuju hanya 25 wakil turun untuk ke kem pelarian Cox Bazaar dan barangan diserahkan kepada IOM (International organization of migrant) dengan persetujuan pengagihan berikutnya dipantau daripada dekat oleh wakil-wakil Malaysia.
Ada relawan yang bersedih kerana tidak dapat mengagihkan sendiri barangan bantuan ke kem pelarian, namun pihak Bangladesh memberikan alasan -alasan keselamatan dalam kem yang juga berlaku infiltrasi daripada pihak agen Myanmar. Ustaz Tarmizi daripada MAPPIM menerangkan bahawa IOM mempunyai jadual pengagihan mingguan, maka NGO Malaysia mempunyai peluang untuk turun bersama mereka. Setiap barangan dihitung dan diaudit oleh IOM tentang tarikh lupus, produk halal dan sebagainya, mereka mempunyai reputasi yang baik dalam membantu pelarian-pelarian di seluruh dunia.
Misi Flotilla mencapai sasaran yang pertama iaitu menghebahkan pada dunia tentang sebuah sketsa kezaliman bumi Arakan yang digelar "Gaza Asia", media massa dalam dan luar negara melaporkan perkembangan misi pertama membantu muslim Rohingya dalam skala besar. Mesej yang jelas, semua negara umat Islam wajib bangkit membantu bukan menjadi pemerhati bisu.
Dalam setahun ini ,pasca misi Food Flotilla yang membuka mata dunia, lebih seribu tubewell, madrasah agama, masjid pengungsi, klinik medan dan pelbagai bantuan telah digerakkan ke khemah-khemah pelarian Rohingya di Bangladesh. Kawasan Cox Bazaar, Khutupalong, Teknaf, Thankhali dipadati lebih 1.2 juta pelarian dengan keadaan yang amat dhaif. Bertindak adalah jauh lebih bermanfaat daripada menghujam kata-kata nista!. Ayuh,kita membantu saudara akidah kita.
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Post a Comment