PRU14: Lebih 4,000 polis kawal Kelantan
KOTA BHARU: Lebih 4,000 pegawai dan anggota polis bersiap sedia ditugaskan bagi mengawal keadaan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata anggota bertanggungjawab mengawal keselamatan di 521 tempat mengundi di seluruh negeri itu dan bersedia berdepan sebarang insiden seperti rusuhan.
Beliau berkata, setakat ini, polis menjangkakan terdapat beberapa kawasan 'panas' yang akan diberi tumpuan sepanjang pilihan raya akan datang.
"Jika berdasarkan keanggotaan yang ada, memang tidak mampu menampung tugas pada pilihan raya nanti, namun kita ada sokongan dari Bukit Aman untuk membantu melakukan tugas di negeri ini.
"Kita juga mempunyai anggota simpanan di stesen sedia ada, yang mungkin akan digerakkan jika kita memerlukan mereka selain turut dibantu polis sukarela," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, malam ini.
Beliau ditemui selepas memberi taklimat kepada anggota keselamatan, termasuk Light Strike Force (LSF), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), berhubung latihan amal dan simulasi PRU-14 yang diadakan sejak 6 pagi tadi sehingga esok.
Beliau berkata, proses simulasi diadakan bermula dengan situasi pasukan mengiringi peti undi ke tempat membuang undi masing-masing pada jam 6 pagi tadi.
"Hari ini, kita mengadakan bagaimana proses mengundi berlangsung dan esok pula berlakunya situasi pasca PRU-14.
"Latihan amal ini dilaksanakan berikutan arahan pucuk kepemimpinan dari Bukit Aman sempena PRU-14," katanya.--BHarian
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Post a Comment