PRU14: Manifesto Gagasan Sejahtera diumum Ahad ini
KUALA LUMPUR: PAS akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi gabungan parti yang diterajuinya, Gagasan Sejahtera pada Ahad ini.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata manifesto tersebut bertemakan 'Malaysia Sejahtera' dan memberi fokus untuk memastikan kesejahteraan golongan Muslim dan bukan Muslim.
"Kita harap tawaran ini mampu menarik sokongan rakyat termasuk pengundi bukan Muslim.
"Sasaran utama bagi kami dalam PRU14 adalah golongan belia kerana mereka berdepan isu besar seperti kos sara hidup, perumahan dan lain-lain," katanya.
Tambah beliau, 70 peratus pengagihan kerusi sudah diselesaikan dan baki akan dimuktamadkan selepas proses persempadanan semula selesai.
"Bagi Gagasan Sejahtera, kami tidak akan mengguna logo yang sama dan tiada perancangan untuk mendaftar gabungan ini secara rasmi," kata beliau.
Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menggariskan sembilan teras yang bakal diberi keutamaan dalam manifesto Gagasan Sejahtera.
Sembilan teras itu adalah pembentukan sebuah kerajaan berintegriti, beramanah dan bebas korupsi; penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baharu rakyat dan meredakan kesan peningkatan inflasi serta kenaikan kos sara hidup, pengurangan jurang agihan pendapatan di bandar dan luar bandar; peningkatan kualiti pendidikan; sistem perundangan dan tadbir urus berlandaskan syariah.
pengembalian hak-hak kerajaan negeri, pemerkasaan suara rakyat dan penambahbaikan sistem sokongan sosial.
Menurut Tuan Ibrahim, teras ini dipilih bagi memastikan manifesto ini mampu menarik sokongan semua tanpa mengira bangsa dan agama.
Manifesto Gagasan Sejahtera akan diumumkan Ahad ini oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Cyberjaya.
Gagasan Sejahtera terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).--AstroAwani
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Post a Comment