Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Kerajaan Kelantan Tidak Pernah Anak Tirikan Orang Asli

Komuniti Orang Asli di Kelantan hanyalah berjumlah kira-kira 10,000 orang sahaja dan sepatutnya kawasan itu sudah mencukupi.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menganaktirikan masyarakat Orang Asli malah tetap membela nasib mereka, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Menurutnya kerajaan negeri sebelum ini telah mewartakan 973 hektar tanah sebagai rizab untuk Orang Asli serta 19,000 hektar lagi untuk kawasan rayau masyarakat itu di negeri ini.
“Sepatutnya isu ini tidak berbangkit. Komuniti Orang Asli di Kelantan hanyalah berjumlah kira-kira 10,000 orang sahaja dan sepatutnya kawasan itu sudah mencukupi serta tidak perlu dibangkitkan lagi.
“Kerajaan negeri sudah berbincang dengan penghulu-penghulu yang dilantik dan mereka sendiri menyatakan rasa tidak senang hati dengan sekatan laluan balak yang diadakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Islam di Balai Islam Lundang, Ahad.
Selasa lepas, 47 Orang Asli yang membuat sekatan di Simpang Petei dan jalan masuk ke Pos Bihai, Gua Musang ditahan polis selepas enggan berganjak dan tidak beredar daripada kawasan sekatan ketika operasi dijalankan Jabatan Perhutanan Kelantan.
Bagaimanapun, mereka yang direman antara dua dan tiga hari itu dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis lepas.
Mengenai penyebaran gambar keadaan banjir yang tidak benar, Ahmadberkata tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana boleh mengundang kerisauan kepada masyarakat.
Beliau turut menasihatkan penduduk di negeri ini agar sentiasa berwaspada bagi mengelak kemalangan yang boleh meragut jiwa terutama sepanjang musim tengkujuh ini. -Bernama

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1308768